Teknologi Islam Sumbangan_Islam_kepada_Eropah_Zaman_Pertengahan

Gambaran La Liza Palermo pada abad ke-19, menunjukkan seni lukis Arab-Norman dan seni bina yang menggabungkan ciri-ciri Kebaratan (seperti tiang dan kerawang Klasik) dengan perhiasan Islam dan seni khat Islam.[36]

Pelbagai jenis buah dan sayur telah diperkenalkan kepada Eropah pada zaman ini melalui Timur Tengah dan Afrika Utara, sebahagiannya dari rantau jauh seperti China dan India, termasuklah articok, bayam, dan terung ungu.[37]

Teknik-teknik baharu serta bahan-bahan baharu, termasuk kain muslin, taffeta dan satin juga diperkenalkan dalam pakaian.

Seni

Maklumat lanjut:Pengaruh Islam terhadap seni lukis Barat dan Seni lukis Islam

Seni perhiasan Islam merupakan import bernilai tinggi di Eropah Zaman Pertengahan. Kebanyakan contoh seni perhiasan Islam yang didapati sekarang merupakan milik gereja. Tekstil khususnya penting pada waktu awal dan digunakan untuk membuat jubah, kain selubung, gantungan gereja, dan pakaian golongan elit. Tembikar harian Islam lebih disukai daripada barangan Eropah. Objek-objek Islam tidak menyinggung perasaan Kristian kerana riasan hanya sebagai perhiasan, atau mempamerkan gambar memburu dan sebagainya, dan inskripsi pada barangan tembikar atau seni lain tidak difahami.[38] Seni lukis Zaman Pertengahan di Sicily menarik dari segi gaya kerana campuran budaya Arab-Norman dalam hasilan mosaik dan tatah dalam logam, arca, dan kerja seni gangsa.

Skrip Pseudo-Kufi pada halo Virgin Mary. Perincian Adoration of the Magi (1423 M) oleh Gentile da Fabriano. Skrip seterusnya dibahagikan dengan roset seperti terdapat pada piring Mamluk.[39]

Penulisan: Tiruan skrip Arab oleh Barat

Maklumat lanjut: Pseudo-Kufi

Dalam dunia Barat, skrip Kufi (seni khat) Arab sering ditiru sebagai perhiasan pada Zaman Pertengahan dan Zaman Pembaharuan, dan mewujudkan apa yang dikenali sekarang sebagai pseudo-Kufi: "Tiruan penulisan Arab di dalam seni lukis Eropah sering diperihalkan sebagai pseudo-Kufi, meminjam perkataan yang digunakan untuk skrip Arab yang menekankan tulisan lurus dan berbucu, dan lazimnya digunakan dalam perhiasan seni bina Islam."[40] Banyak contoh pseudo-Kufi daripada seni lukis Eropah diketahui dari abad ke-10 hingga ke-15; biasanya aksara tidak membawa makna, walaupun kadang-kadang teks Arab disalin. Pseudo-Kufi digunakan sebagai penulisan atau sebagai unsur perhiasan tekstil, keagamaan (halo), atau bingkai. Banyak contoh penggunanaan sedemikian dapat dilihat pada lukisan-lukisan Giotto.[40] Sebab sebenar penggunaan pseudo-Kufi pada waktu awal Zaman Pembaharuan tidak jelas. Berkemungkinan orang Barat tersilap dengan menganggap skrip Timur Tengah abad ke-13 dan 14 sebagai sama dengan skrip yang digunakan pada zaman Nabi Isa, dan seterusnya menganggap biasa jika Kristian-kristian awal dikaitkan dengan skrip tersebut:[41] "Dalam seni lukis Zaman Pembaharuan, skrip pseudo-Kufi digunakan untuk menghias pakaian wira Wasiat Lama seperti Nabi Daud".[42] Suatu lagi sebab adalah berkemungkinan pelukis mahu menzahirkan keuniversalan budaya bagi agama Kristian, dengan menggabungkan pelbagai bahasa bertulis, pada masa pihak gereja memiliki cita-cita antarabangsa yang kuat.[43]

Permaidani Islam

The Somerset House Conference (1604 M), pelukis tidak diketahui, menunjukkan diplomat Inggeris dan Sepanyol berkumpul pada meja yang beralaskan permaidani oriental ("Timur").

Permaidani Islamik asalan Timur Tengah, sama ada daripada Empayar Uthmaniyyah, Levant, negeri Mamluk Mesir atau Afrika Utara, merupakan tanda penting akan kekayaan dan kemewahan di Eropah, seperti digambarkan oleh kekerapan terdapatnya permaidani sebagai ciri perhiasan dalam lukisan dari abad ke-13 dan berterusan sehinggalah ke Zaman Barok. Permaidani-permaidani sedemikian, bersama-sama dengan skrip pseudo-Kufi menawarkan contoh menarik tentang penyepaduan unsur-unsur Timur ke dalam lukisan Eropah, khususnya yang menggambarkan subjek keagamaan.

Muzik

Maklumat lanjut: Musik klasik Andalus

Beberapa alat muzik yang digunakan di dalam muzik Eropah dipengaruhi alat muzik Arab, termasuk rebec (leluhur violin) daripada rebab, guitar daripada qitara, naker daripada naqareh[44] serta shawm dan dulzaina daripada alat pipit zamr dan al-zurna.[45]

Muslim dan Kristian bermain oud, lukisan miniatur dari Cantigas de Santa Maria oleh Raja Alfonso X.

Terdapat berbagai teori tentang asal-usul tradisi troubadour; satu teori yang luas dipakai ialah ianya asalan Arab. William of Aquitaine, troubadour pertama yang karyanya masih ada, mempunyai perhubungan luas dengan dunia Islam semasa perang Salib 1101 dan Reconquista di Sepanyol (di mana dia dihadiahkan pasu hablur batuan oleh seorang sekutu Muslim). Dalam kajiannya, Levi-Provencal dikatakan telah menemui empat ayat Arabo-Hispanic yang ditiru separa atau lengkap di dalam manuskrip William of Aquitaine[46] Mengikut sumber-sumber sejarah, William VIII, bapa William IX, membawa beratus tahanan Muslim ke Poitiers.[47] Hipotesis tradisi troubadour dicipta, lebih kurang, oleh William selepas pengalamannya tentang seni Moor semasa berjuang bersama Reconquista di Sepanyol ditonjolkan Ramón Menéndez Pidal pada awal abad ke-20, tetapi asalannya berpunca seawal Giammaria Barbieri pada abad ke-16. Yang pasti "sekumpulan lagu yang sebanding dari segi keamatan, kekasaran dan erotisme dalam bahasa Arab terdapat pada separuh kedua abad ke-9 dan seterusnya."[48]

Teori standard tentang asal-usul notasi solfa Barat ialah ianya muncul di Itali pada abad ke-11, namun beberapa sarjana mengemukakan pendapat bahawa suku kata solfa (do, re, mi, fa, sol, la, ti) mungkin berasal daripada suku kata sistem solmization Arab Durr-i-Mufassal ("Mutiara Terpisah") (dal, ra, mim, fa, sad, lam). Teori asalan ini mula-mula disarankan oleh Meninski di dalam penulisannya Thesaurus Linguarum Orientalum (1680) dan kemudian oleh Laborde di dalam Essai sur la Musique Ancienne et Moderne (1780). Namun, tidak terdapat bukti tertulis bagi membuktikan teori ini.[49][50]

Teknologi

Lihat juga: Garis masa ahli sains dan jurutera Islam

Serpihan kaca Syria atau Mesir berinskripsi Arab, digali di London. Muzium London.Piring Al-Andalus dipinggiri skrip pseudo-Arab, digali di London. Muzium London.

Beberapa teknologi dalam dunia Islam telah diserapkan ke dalam teknologi Zaman Pertengahan Eropah. Teknologi-teknologi tersebut termasuklah pelbagai tanaman;[51] berbagai peralatan astronomi, termasuk astrolab Yunani, yang dibangun dan diperhalusi ahli astronomi Arab kepada peralatan seperti Quadrans Vetus, sukuan horary serba guna yang boleh digunakan bagi semua latitud,[52] dan Saphaea, astrolab serba guna dicipta al-Zarqali;[53] sekstan astronomi; pelbagai peralatan pembedahan, termasuklah perhalusan bentuk-bentuk lama dan ciptaan baru;[23] dan penggearan termaju di dalam jam air dan automata.[54] Penyulingan diketahui orang Yunani dan Rom, tetapi telah diperkenalkan semula di Eropah Zaman Pertengahan melalui orang Arab. Istilah alkohol (menggambarkan cecair hasil penyulingan) datang daripada perkataan Arab al-kuhl.[55] Istilah alembic (melalui "Ambix" Yunani) datang daripada perkataan Arab al-anbiq.[56] Dipercayai contoh-contoh jam air dan automata kompleks Islam telah mempengaruhi dengan kuat ahli-ahli seni Eropah yang mencipta jam-jam mekanikal pertama pada abad ke-13.[57]

Pengimportan kedua-dua teknologi kuno dan baharu dari Timur Tengah dan Timur ke dalam Eropah Zaman Pertengahan dikatakan "satu daripada pemindahan teknologi terbesar di dalam sejarah dunia."[58]

Bikar Aldrevandini, kaca Venice dihiasi enamel berkaca yang berasal daripada gaya dan teknik Islam. Lebih kurang 1330 M.[59]

Dalam kertas kerja tahun 1974 yang berpengaruh, ahli sejarah Andrew Watson menyarankan bahawa terjadi Revolusi Pertanian Islam di antara tahun 700 dan 1100 M, yang telah menyerapkan sejumlah besar tanaman dan teknologi dari Sepanyol ke Eropah Zaman Pertengahan, di mana pertanian terhad kepada strain-strain gandum yang diperoleh dari awal lagi melalui Asia tengah. Watson menyenaraikan lapan belas tanaman, termasuk sorgum (betari) dari Africa, buah-buahan sitrus dari China, dan berbagai tanaman seperti mempelam, beras, kapas dan tebu dari India, yang tersebar di tanah-tanah Islam yang mengikut Watson tidak ditanam di tanah-tanah tersebut. Watson menyarankan bahawa pembawaan masuk ini serta peningkatan penjenteraan di dalam bidang pertanian, telah membawa kepada perubahan besar dalam ekonomi, taburan penduduk, penutup tumbuhan, pengeluaran pertanian dan pendapatan, tahap penduduk, pertumbuhan bandar, taburan tenaga kerja, industri berkaitan, pemasakan, pemakanan dan pemakaian di dalam dunia Islam. Juga, di bawah pengaruh Islam, industri sutera berkembang, penanaman flaks dijalankan, linen dieksport, dan rumput esparto, yang tumbuh liar di kawasan gersang, dipungut dan dijadikan beberapa barangan lain.[51] Namun teori Watson ini dicabar Michael Decker yang menyatakan beberapa tanamam (gandum durum, beras, sorgum dan kapas) sudah terdapat berkurun sebelum zaman Islam dan secara amnya menyatakan bahawa amalan pertanian dunia Islam merupakan evolusi amalan dunia kuno dan bukannya revolusi seperti dinyatakan Watson.[60]

Pembuatan gula daripada tebu,[61] jam air, pulpa dan kertas, sutera, dan pelbagai kemajuan dalam pembuatan minyak wangi,dipindahkan dari dunia Islam kepada Europah Zaman Pertengahan.[62] Mesin Fulling (satu langkah dalam pembuatan kain dan kemajuan dalam teknologi kilang juga mungkin telah dipindahkan dari dunia Islam kepada Eropah Zaman Pertengahan,[63] bersama-sama penggunaan rekaan seperti pam sedut,[64] pam noria dan pam rangkai bagi tujuan pertanian. Mengikut Watson, "Sumbangan Islam sebenarnya lebih dari segi penggunaan secara meluas peralatan yang digunakan hanya secara dan pada kawasan terhad pada zaman pra-Islam daripada perekaan peralatan baharu."[65] Inovasi-inovasi ini membolehkan operasi-operasi perindustrian yang dahulunya dilakukan secara insani atau dengan penggunaan haiwan penarik, didorong oleh jentera pada Eropah Zaman Pertengahan.[66]

Rujukan

WikiPedia: Sumbangan_Islam_kepada_Eropah_Zaman_Pertengahan http://bahai-library.com/cobb_islamic_contribution... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/195896/h... http://books.google.com/?id=CP6O3wkivMIC&pg=PA211&... http://books.google.com/books?id=Zo2UVs_Sr68C&pg=P... http://books.google.com/books?id=jgSNmsXG1jwC&pg=P... http://books.google.com/books?id=pePPvGkGZDQC&pg=P... http://books.google.com/books?id=tsiIvJ16AU0C&pg=P... http://www.history-science-technology.com/Articles... http://www.history-science-technology.com/Articles... http://www.history-science-technology.com/Notes/No...